Tuesday, January 31, 2017

AKTA MESIN CETAK DAN PENERBITAN 1984 

                                  Tarikh Perkenan Diraja … … … … … … … 27 Jun 1984
                                  Tarikh penyiaran dalam Warta … … … … … 28 Jun 1984
                                  Kali terakhir dipinda melalui
                                  Akta A1436 yang mula
                                  berkuat kuasa pada … … … … … … … 15 Julai 2012


CETAKAN SEMULA YANG TERDAHULU 

Cetakan Semula Yang Pertama … … … … … 2008

UNDANG-UNDANG MALAYSIA 

Akta 301 

SUSUNAN SEKSYEN 

BAHAGIAN I 

PERMULAAN 

Seksyen 
1. Tajuk ringkas 
2. Tafsiran 
BAHAGIAN II 

PELESENAN MESIN CETAK 

3. Lesen untuk mengguna mesin cetak 
4. Mesin cetak yang digunakan bagi maksud yang menyalahi undang-undang 

BAHAGIAN III 

PERMIT UNTUK MENERBITKAN AKHBAR 

5. Kesalahan untuk mencetak, mengimport, menerbit, dsb. akhbar tanpa permit 
6. Pemberian permit 

BAHAGIAN IV 

KAWALAN HASIL PENERBITAN TIDAK DIINGINI 

7. Hasil penerbitan tidak diingini 
8. Kesalahan 
8A. Kesalahan kerana menyiarkan berita yang tidak benar 
8B. Pengharaman hasil penerbitan

Undang-Undang Malaysia 

Seksyen 
8C. Penggantungan hasil penerbitan 
9.    Hasil penerbitan tidak diingini boleh ditolak daripada diimport 
9A. Menahan penghantarserahan sementara menanti keputusan Menteri 

BAHAGIAN V 

PELBAGAI 

10. Deposit 
11. Dokumen bercetak hendaklah mengandungi nama pencetak dan penerbit 
12. Kesahan lesen dan permit 
13. Pembatalan, penggantungan dan pemindahan lesen atau permit 
13A. Keputusan Menteri adalah muktamad 13B. Hak untuk didengar 
14. Anggapan 15. Anggapan pencetak dan penerbit 16. Waran geledah 
17. Kuasa untuk membuka bungkusan 18. Kuasa menyita dan menahan 
19. Semua benda yang disita kena dilucut hak 
20. Tangkapan tanpa waran 
21. Perbadanan dan firma 
22. Liabiliti pengarah, dsb. 
23. Penyampaian notis, dsb. 
24. Halangan kepada prosiding undang-undang 
25. Pengecualian 
26. Kaedah-kaedah 
27. Pemansuhan 
      JADUAL I 
      JADUAL II

UNDANG-UNDANG MALAYSIA 

AKTA 301 

AKTA MESIN CETAK DAN PENERBITAN 1984 

Suatu Akta untuk mengawal selia penggunaan mesin cetak dan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan dan pengedaran hasil penerbitan dan mengenai perkaraperkara yang berkaitan dengannya. 
[1 September 1984; P.U. (B) 364/1984] 

MAKA INILAH DIPERBUAT UNDANG-UNDANG oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat dan persetujuan Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang bersidang dalam Parlimen, dan dengan kuasa daripadanya, seperti yang berikut: 

BAHAGIAN I 

PERMULAAN 

Tajuk ringkas 
1. Akta ini bolehlah dinamakan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. 

Tafsiran 
2. Dalam Akta ini melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain — 

  “akhbar” ertinya apa-apa hasil penerbitan yang mengandungi berita, penerangan, laporan kejadian atau apa-apa pendapat, pemerhatian atau ulasan, berhubungan dengan apa-apa berita, penerangan atau kejadian, atau dengan apa-apa perkara lain, yang menarik minat orang ramai, atau apa-apa majalah, komik atau bentuk majalah berkala lain yang dicetak dalam apa-apa bahasa untuk dijual atau diedarkan dengan percuma pada lat tempoh yang kerap atau tidak kerap, tetapi tidak termasuk apa-apa hasil penerbitan yang diterbitkan oleh atau untuk Kerajaan Persekutuan atau mana-mana Kerajaan Negeri atau Kerajaan Singapura;

  “dokumen” ertinya apa-apa kertas, kad atau bahan lain atau benda yang padanya ada dicetak, ditaip, ditulis atau ditandakan, huruf, angka, tanda, majalah bergambar atau apa-apa gambaran lain yang boleh dilihat dan termasuklah akhbar, buku dan risalah; 
 
  “lesen” ertinya lesen yang diberi di bawah subseksyen 3(3); 
   
  “orang” termasuklah pertubuhan perbadanan atau pertubuhan tidak diperbadankan; 
 
  “pegawai berkuasa” ertinya mana-mana pegawai polis, seseorang pegawai Kastam, pegawai Jabatan Perkhidmatan Pos dan mana-mana pegawai awam lain yang ditetapkan oleh Menteri sebagai pegawai berkuasa bagi maksud Akta ini; 
   
   “pegawai kanan berkuasa”ertinya— 
(a) mana-mana pegawai polis berpangkat tidak rendah daripada Penolong Penguasa; 
(b) mana-mana pegawai Kastam berpangkat tidak rendah daripada Penguasa; 
(c) mana-mana pegawai Jabatan Perkhidmatan Pos berpangkat tidak rendah daripada Pegawai Kanan Pos;
(d) mana-mana pegawai awam lain yang ditetapkan oleh Menteri sebagai pegawai kanan berkuasa bagi maksud Akta ini; 

  “penerbitan” termasuklah— 
(a) dokumen, akhbar, buku dan majalah berkala; 
(b) semua bahan bertulis atau bercetak dan segala-galanya sama ada sifatnya yang serupa dengan bahan bertulis atau bercetak atau tidak mengandungi apa-apa gambaran yang boleh dilihat;
(c) apa-apa jua yang mengikut rupa, bentuknya atau dengan apa jua cara boleh membayangkan kata-kata atau idea; dan 
(d) rakaman suara; 

 “hasil penerbitan larangan” ertinya apa-apa hasil penerbitan yang telah dilarang di bawah subseksyen 7(1) dan termasuk apa-apa salinan, penghasilan semula, cabutan atau apa-apa terjemahan, ringkasan karangan atau parafrasanya; 

  “permit” ertinya permit yang diberi di bawah perenggan 6(1)(a) atau (b);

  “rakaman suara” ertinya apa-apa bahan yang padanya direkodkan suara manusia atau muzik instrumental atau bunyi lain dan termasuklah piring hitam, pita dan ceper laser; 

  “tuan punya” ertinya tuan punya tunggal mana-mana akhbar dan juga orang yang, sebagai pekongsi atau selainnya, mewakili dan bertanggungjawab atas apa-apa syer atau kepentingan dalam akhbar antara mereka sendiri dan orang yang dengan cara serupa itu mewakili atau bertanggungjawab atas syer atau kepentingan lain di dalamnya dan bukan orang lain. 

BAHAGIAN II 

PELESENAN MESIN CETAK 

Lesen untuk mengguna mesin cetak 
3. (1) Tiada seorangpun boleh menyimpan untuk digunakan atau mengguna mesin cetak melainkan jika dia telah diberi lesen di bawah subseksyen (3). 
(2) Bagi maksud seksyen ini, “mesin cetak” ertinya mesin, perkakas atau benda untuk mencetak, menyalin atau menghasil semula apa-apa dokumen yang diperihalkan dalam Jadual I.
(3) Menteri boleh memberi kepada mana-mana orang suatu lesen bagi menyimpan mesin cetak untuk digunakan atau menggunakan mesin cetak dan dia boleh menolak mana-mana permohonan untuk mendapatkan lesen sedemikian atau boleh pada bila-bila masa membatalkan atau menggantung lesen itu selama apa-apa tempoh yang difikirkannya wajar. 
(4) Mana-mana orang yang menyimpan untuk digunakan atau menggunan mesin cetak tanpa lesen sah yang diberi di bawah subseksyen (3), atau berlanggaran dengan mana-mana syarat yang dikenakan di dalamnya, melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau keduaduanya dan deposit yang disimpan di bawah seksyen 10 boleh dilucut hak. 
(5) Mesin cetak yang disimpan untuk digunakan atau digunakan yang berkenaan dengannya tiada lesen telah diberi boleh diperintahkan supaya dilucut hak oleh mahkamah walau tiada seorang pun disabitkan atas sesuatu kesalahan dan jika tidak ada pendakwaan maka mesin cetak itu boleh dilupuskan mengikut seksyen 19. 
(6) Bagi maksud seksyen ini pemunya, penduduk dan mana-mana orang yang mempunyai penjagaan atau pengurusan atau membantu dalam pengurusan mana-mana premis dalam mana mesin cetak itu terjumpa hendaklah disifatkan telah menyimpannya untuk digunakan sehingga dia membuktikan sebaliknya. 
(7) Menteri boleh melalui perintah yang disiarkan dalam Warta meminda Jadual I. 
(8) Tiada apa jua dalam seksyen ini boleh meliputi perteraan apaapa ukiran atau pencetakan apa-apa kad kunjungan atau kad niaga, kepala bil atau kepala surat, atau apa-apa jua surat, memorandum atau dokumen, yang ditaip, dicetak, atau dihasil semula mengikut perjalanan biasa perniagaan, iaitu bukannya perniagaan percetakan atau penerbitan, atau bagi apa-apa jua tujuan atau maksud lain yang sah.

Mesin cetak yang digunakan bagi maksud yang menyalahi undang-undang 
4. (1) Mana-mana orang yang mencetak atau menghasilkan atau menyebab atau membenarkan dicetak atau dihasilkan dengan mengguna mesin cetak atau mesinnya apa-apa hasil penerbitan atau dokumen — 
(a) yang lucah atau selainnya bertentangan dengan kesopanan awam; atau 
(b) yang mengandungi perkara pengapian terhadap orang atau harta, menggalakkan pencabulan undang-undang atau terhadap apa-apa perintah yang sah di sisi undangundang atau yang melakukan pecah keamanan atau yang mungkin membawa kepada pecah keamanan atau menggalakkan perasaan niat jahat, perseteruan, permusuhan, kebencian, ketidakharmonian atau pecah belah, 
melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau kedua-duanya. 
(2) Walaupun terdapat mana-mana undang-undang yang berlawanan, mana-mana mesin cetak atau mesin yang digunakan untuk mencetak apa-apa hasil penerbitan atau dokumen yang menjadi hal perkara sesuatu kesalahan di bawah subseksyen (1) atau apa-apa peruntukan mana-mana undang-undang bertulis yang dinyatakan dalam Jadual II boleh diperintahkan supaya dilucut hak oleh mahkamah walaupun tiada seorangpun disabitkan atas sesuatu kesalahan. 

BAHAGIAN III 

PERMIT UNTUK MENERBITKAN AKHBAR 

Kesalahan untuk mencetak, mengimport, menerbit dsb. akhbar tanpa permit 
5. (1) Tiada seorangpun boleh mencetak, mengimport, menerbit, menjual, mengeliling atau mengedar atau menawar untuk menerbitkan, menjual, mengelilingi atau mengedar apa-apa akhbar yang dicetak di Malaysia atau Singapura melainkan jika permit di bawah perenggan 6(1)(a) atau (b) telah diberi oleh Menteri berkenaan dengan akhbar itu. 
(2) Mana-mana orang yang — 
(a) mencetak apa-apa akhbar yang berkenaan dengannya permit telah tidak diberi atau yang berkenaan dengannya permit telah dibatalkan atau digantung; atau 
(b) mengimport, menerbit, menjual, mengeliling atau mengedar, atau menawar untuk menerbit, menjual, mengeliling atau mengedar, atau ada dalam milikannya bagi apa-apa jua maksud seperti itu, apa-apa akhbar yang dicetak di Malaysia atau Singapura yang berkenaan dengannya tiada permit telah diberi atau yang berkenaan dengannya permit telah dibatalkan atau digantung, 
melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau kedua-duanya.

Pemberian permit 
6. (1) Menteri boleh memberi — 
(a) kepada mana-mana orang suatu permit untuk mencetak dan menerbitkan akhbar di Malaysia; atau (b) kepada mana-mana tuan punya mana-mana akhbar di Singapura suatu permit membenarkan akhbar itu diimport, dijual, dikelilingi atau diedar di Malaysia. 
(2) Menteri boleh pada bila-bila masa membatalkan atau menggantung sesuatu permit selama sesuatu tempoh yang difikirkannya wajar. 
(3) Menteri boleh mengenakan sebagai satu syarat pemberian permit yang tuan punya akhbar di Singapura hendaklah menubuhkan dan menyenggara suatu tempat perniagaan di dalam Malaysia atau hendaklah melantik orang di dalam Malaysia yang diberi kuasa untuk menerima penyampaian apa-apa notis atau proses undang-undang bagi pihak tuan punya dan hendaklah memberi kepada Menteri senarai yang mengandungi nama dan alamat orang itu dan menyebabkan disiarkannya mengikut apa-apa cara sebagaimana diarahkan oleh Menteri.

BAHAGIAN IV 

KAWALAN HASIL PENERBITAN TIDAK DIINGINI 

Hasil penerbitan tidak diingini 
7. (1) Jika Menteri berpuas hati bahawa apa-apa hasil penerbitan mengandungi apa-apa makalah, karikatur, fotograf, laporan, nota, tulisan, bunyi, muzik, kenyataan atau apa-apa perkara lain yang mengikut apa-apa jua cara memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam, kemoralan, keselamatan, atau yang mungkin menggemparkan fikiran orang ramai, atau yang berlawanan atau mungkin berlawanan dengan mana-mana undangundang atau yang selainnya memudaratkan atau mungkin memudaratkan kepentingan awam atau kepentingan negara, dia boleh menurut budi bicara mutlaknya melalui perintah yang disiarkan dalam Warta melarang, sama ada secara mutlak atau tertakluk kepada apa-apa syarat yang ditetapkan, pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil pengeluaran itu dan hasil pengeluaran masa hadapan penerbit yang berkenaan.
 (2) Berkenaan dengan hasil penerbitan yang bermula di manamana negara di luar Malaysia, suatu perintah di bawah subseksyen
(1) boleh, jika perintah itu memperuntukkan sedemikian —
(a) melarang pengimportan mana-mana atau semua hasil penerbitan sama ada sebelum atau selepas tarikh perintah itu, dengan tertakluk kepada apa-apa syarat yang ditetapkan di dalamnya;
(b) berkenaan dengan hasil penerbitan berkala, melarang pengimportan mana-mana keluaran masa lalu atau masa depan;
(c) berkenaan dengan hasil penerbitan yang telah dikeluarkan atau nampaknya atau berupa sebagai telah dikeluarkan dari mana-mana gedung penerbitan, agensi penerbitan atau sumber lain yang dinyatakan dalam perintah itu, melarang pengimportan apa-apa hasil penerbitan lain yang mungkin pada bila-bila masa sama ada sebelum atau selepas tarikh perintah itu telah dikeluarkan, atau nampaknya atau berupa telah dikeluarkan, dari gedung penerbitan, agensi penerbitan atau sumber lain yang dinyatakan itu;
(d) menghendaki penerbitnya supaya membuat apa-apa deposit sebanyak amaun dan mengikut apa-apa cara sebagaimana ditetapkan di dalamnya sebelum apa-apa hasil penerbitan itu boleh diimport.
(3) Jika Menteri berpuas hati bahawa penerbit mana-mana hasil penerbitan telah bertindak bersalahan dengan Akta ini atau manamana kaedah atau perintah yang dibuat di bawahnya atau manamana syarat lesen atau permit atau mana-mana undang-undang berhubungan dengan hasutan atau fitnah, maka setelah memberikan peluang kepada penerbit itu untuk menunjukkan sebab mengapa deposit yang dibuat di bawah perenggan (2)(d) tidak patut dilucuthakkan, dia boleh memerintahkan supaya deposit itu atau sebahagian daripadanya dilucut hak.
(4) Sama ada atau tidak suatu perintah telah dibuat di bawah subseksyen (3) mahkamah boleh memerintahkan deposit itu atau apaapa bakinya, jika ada —
(a) dilucuthakkan jika penerbit tidak hadir di mahkamah untuk menjawab apa-apa pertuduhan jenayah atau tindakan sivil berhubungan dengan apa-apa perkara yang berkaitan dengan hasil penerbitan itu; atau
(b) dibayar sebagai penyelesaian apa-apa penghakiman yang didapatinya terhadap penerbit yang berbangkit daripada apa-apa prosiding yang berkaitan dengan hasil penerbitan itu.
(5) Jika deposit yang dibuat di bawah perenggan (2)(d) diperintahkan supaya dilucut hak atau digunakan sebagai penyelesaian apa-apa ganti rugi di bawah subseksyen (3) atau (4), perintah larangan di bawah subseksyen (1) hendaklah menjadi mutlak melainkan jika penerbit membuat deposit selanjutnya sebagaimana dikehendaki oleh Menteri.
(6) Seseorang penerbit tempatan atau asing adalah bertanggungjawab dan bertanggungan atas apa-apa tindakan berkenaan dengan apa-apa bahan yang disiarkan dalam hasil penerbitannya.

Kesalahan 
8. (1) Mana-mana orang yang tanpa sebab yang munasabah didapati memiliki apa-apa hasil penerbitan larangan melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima ribu ringgit.
(2) Mana-mana orang yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam milikannya bagi apa-apa jua maksud seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau kedua-duanya.

Kesalahan kerana menyiarkan berita yang tidak benar 
8A. (1) Jika dalam apa-apa hasil penerbitan ada disiarkan dengan niat jahat apa-apa berita yang tidak benar, maka pencetak, penerbit, penyunting dan penulis berita itu melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau kedua-duanya.
(2) Bagi maksud seksyen ini, hendaklah dianggap ada niat jahat sekiranya tidak ada keterangan yang menunjukkan bahawa sebelum penerbitannya tertuduh telah mengambil langkah yang munasabah untuk menentusahkan kebenaran berita itu.
(3) Tiada pendakwaan kerana sesuatu kesalahan di bawah seksyen ini boleh dimulakan tanpa keiznan bertulis Pendakwa Raya.

Pengharaman hasil penerbitan 
8B. Jika mana-mana orang telah didapati bersalah oleh mana-mana mahkamah atas apa-apa kesalahan berkenaan dengan apa-apa jua yang disiarkan dalam apa-apa hasil penerbitan, adalah sah bagi mahkamah, atas permohonan Pendakwa Raya, memerintahkan supaya diharamkan hasil penerbitan itu selama tempoh yang tidak melebihi enam bulan dari penerbitan itu.

Penggantungan hasil penerbitan
8C. (1) Sementara menanti selesainya apa-apa prosiding bagi pendakwaan pencetak, penerbit, penyunting atau penulis di hadapan mana-mana mahkamah kerana apa-apa kesalahan berkenaan dengan apa-apa jua yang disiarkan dalam apa-apa hasil penerbitan, adalah sah bagi mahkamah, atas permohonan Pendakwa Raya, memerintahkan supaya hasil penerbitan itu digantung.
(2) Jika rayuan dibuat terhadap perintah pembebasan mana-mana orang yang dipertuduh atas sesuatu kesalahan berkenaan dengan apaapa jua yang disiarkan dalam apa-apa hasil penerbitan, adalah sah bagi mahkamah yang akan mendengar rayuan itu, atas permohonan Pendakwa Raya, memerintahkan supaya hasil penerbitan itu digantung selanjutnya sementara menanti pemberesan muktamad rayuan itu.
(3) Mana-mana orang yang melanggar sesuatu perintah yang dibuat di bawah seksyen ini melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau keduaduanya.

Hasil penerbitan tidak diingini boleh ditolak daripada diimport 
9. (1) Tanpa menjejaskan apa-apa jua dalam Akta ini, Menteri boleh menolak pengimportan ke dalam Malaysia atau menahan penghantarserahan atau mengembalikan kepada pengirimnya di luar Malaysia apa-apa hasil penerbitan yang dia berpuas hati mengandungi apa-apa makalah, karikatur, fotograf, laporan, nota, tulisan, bunyi, muzik, kenyataan atau apa-apa perkara lain yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, kemoralan, keselamatan, atau yang mungkin menggemparkan fikiran orang ramai, atau yang mungkin berlawanan dengan mana-mana undangundang atau yang selainnya memudaratkan atau mungkin memudaratkan kepentingan awam atau kepentingan negara. (2) Walau apa pun peruntukan subseksyen (1), Menteri boleh membenarkan pengimportan atau penyerahhantaran apa-apa hasil penerbitan setelah mana-mana bahagian daripada hasil penerbitan yang difikirkannya tidak diingini mengikut apa jua alasan seperti dinyatakan dalam subseksyen (1) itu telah dihapus, dipotong, dipadam atau dibuangkan hingga memuaskan hatinya.
(3) (Dipotong oleh Akta A684).

Menahan penghantarserahan sementara menanti keputusan Menteri 
9A. Jika seseorang pegawai kanan berkuasa dengan munasabahnya mengesyaki bahawa sesuatu hasil penerbitan mengandungi apa-apa makalah, karikatur, fotograf, laporan, nota, tulisan, bunyi, muzik, kenyataan atau apa-apa perkara lain yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, kemoralan, keselamatan, atau yang mungkin menggemparkan fikiran orang ramai, atau yang mungkin berlawanan dengan mana-mana undang-undang atau yang selainnya memudaratkan atau mungkin memudaratkan kepentingan awam atau kepentingan negara, dia boleh menahan penghantarserahan hasil penerbitan itu sementara menanti keputusan Menteri untuk memperlakukannya sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 9.

BAHAGIAN V 

PELBAGAI 

Deposit 
10. Seseorang yang diberi lesen atau permit di bawah Akta ini mungkin dikehendaki oleh Menteri, sebelum dikeluarkan lesen atau permit itu, supaya mendeposit dengan Kerajaan sekian amaun sebagaimana ditetapkan secara khas atau am melalui kaedah-kaedah dan amaun itu atau mana-mana bahagiannya boleh dilucut hak oleh mahkamah apabila berlakunya apa-apa kesalahan di bawah Akta ini atau mana-mana kaedah yang dibuat di bawahnya atau sekiranya berlaku pemelanggaran terhadap mana-mana syarat lesen itu.

Dokumen bercetak hendaklah mengandungi nama pencetak dan penerbit 
11. (1) Tiap-tiap hasil penerbitan yang dicetak atau diterbitkan dalam Malaysia hendaklah dicetakkan nama dan alamat pencetak dan penerbitnya dengan mudah dibaca dalam bahasa Malaysia atau bahasa Inggeris pada lembaran pertama atau akhir.
(2) Tiada seorang pun boleh menerbit, menghasil semula, menjual, mengeliling atau mengedar, atau menawarkan untuk menerbit, menghasil semula, menjual, mengeliling atau mengedar apa-apa hasil penerbitan yang tidak mempunyai nama dan alamat pencetak dan penerbit, atau berkenaan dengan rakaman suara, nama dan alamat pengeluar dicetak dengan jelasnya pada kulit atau bekas dan manamana orang yang bertindak dengan melanggar seksyen ini melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi setahun atau didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau kedua-duanya.
(3) Berkenaan dengan hasil penerbitan yang diimport ke dalam Malaysia maka adalah menjadi pematuhan yang cukup akan seksyen ini kiranya nama pencetak, penerbit atau pengeluar dicetak dengan jelas pada mana-mana bahagian hasil penerbitan atau bekas itu.

Kesahan lesen dan permit 
12. Suatu lesen atau permit yang diberikan di bawah Akta ini hendaklah tertakluk kepada apa-apa syarat sebagaimana yang diendorskan dalam lesen atau permit itu dan hendaklah kekal sah selagi lesen atau permit itu tidak dibatalkan.

Pembatalan, penggantungan dan pemindahan lesen atau permit 
13. (1) Tanpa menjejaskan kuasa Menteri untuk membatal atau menggantung lesen atau permit di bawah mana-mana peruntukan lain dalam Akta ini, jika Menteri berpuas hati bahawa mana-mana mesin cetak yang berkenaan dengannya lesen itu telah dikeluarkan adalah digunakan untuk mencetak mana-mana hasil penerbitan yang memudaratkan ketenteraman awam atau keselamatan negara atau bahawa mana-mana akhbar yang berkenaan dengannya permit telah dikeluarkan mengandungi apa-apa jua yang memudaratkan ketenteraman awam atau keselamatan negara, dia boleh membatalkan lesen atau permit itu.
(2) Tertakluk kepada subseksyen (3), tiada lesen atau permit boleh dengan apa jua cara dipindah, diserah hak atau selainnya diletakkan di bawah kawalan mana-mana orang lain daripada orang yang lesen atau permit itu pada mula-mulanya diberi melainkan jika Menteri membenarkan sedemikian dan mana-mana pemegang yang melanggar subseksyen ini boleh, dibatalkan atau digantung lesen atau permitnya.
(3) Jika sekiranya berlaku kematian, ketidakupayaan, kebankrapan atau, dalam hal suatu syarikat, penyelesaian ke atas pemegang lesen atau permit itu, atau jika seorang penerima atau pengurus dilantik berhubungan dengan perniagaan pemegang lesen itu, atau jika kerana apa jua sebab Menteri berpuas hati bahawa tidak patut tidak melakukan sedemikian, Menteri boleh membenarkan lesen atau permit itu dipindahkan.

Keputusan Menteri adalah muktamad 
13A. (1) Apa-apa keputusan Menteri untuk menolak daripada memberikan atau untuk membatalkan atau menggantung sesuatu lesen atau permit adalah muktamad.
(2) Bagi maksud seksyen ini “keputusan” termasuklah apa-apa perintah atau arahan yang dibuat oleh Menteri di bawah Akta ini.

Hak untuk didengar 
13B. Seseorang yang diberikan suatu lesen atau permit di bawah Akta ini hendaklah diberi suatu peluang untuk didengar sebelum suatu keputusan untuk membatalkan atau menggantung lesen atau permit itu dibuat di bawah subseksyen 3(3), 6(2) atau 13(1), mengikut manamana yang berkenaan

Anggapan 
14. Bagi maksud apa-apa prosiding di bawah Akta ini mana-mana orang yang didapati ada dalam milikan, jagaan atau kawalannya—
(a) apa-apa akhbar yang berlawanan dengan subseksyen 5(1) atau (2); atau
(b) dua naskhah atau lebih mana-mana keluaran, edisi atau cetakan tertentu mana-mana hasil penerbitan,
hendaklah dianggap, sehingga dibuktikan sebaliknya, berada dalam milikannya apa-apa akhbar atau hasil penerbitan bagi maksud penjualan, pengelilingan atau pengedaran.

Anggapan pencetak dan penerbit 
15. Pencetak, penerbit atau pengeluar yang nama atau alamatnya dicetak pada mana-mana hasil penerbitan atau bekasnya hendaklah dianggap, sehingga dibuktikan sebaliknya, telah mencetak, menerbitkan atau menghasilkan penerbitan itu di tempat yang dinyatakan dalamnya.

Waran geledah
16. (1) Seseorang Majistret boleh mengeluarkan waran geledah yang memberi kuasa kepada pegawai kanan berkuasa untuk memasuki dan menggeledah mana-mana premis di mana disyaki dengan munasabahnya terdapat —
(a) mesin cetak yang disimpan atau digunakan dengan melanggar seksyen 3;
(b) apa-apa akhbar yang dicetak atau diimport atau diterbitkan dengan melanggar seksyen 5; atau
(c) apa-apa hasil penerbitan larangan.
(2) Bila-bila masa didapati oleh mana-mana pegawai kanan berkuasa bahawa adanya alasan yang munasabah bagi mempercayai bahawa ada tersembunyi atau disimpan dalam mana-mana premis apa-apa hasil penerbitan larangan, dan bahawa oleh sebab kelambatan mendapatkan waran geledah yang menjadi tujuan geledah itu mungkin terkecewa, dia boleh memasuki dan menggeledah premis itu seolah-olah dia diberi kuasa untuk berbuat demikian mengikut suatu waran yang dikeluarkan dibawah subseksyen (1).

Kuasa untuk membuka bungkusan 
17. Mana-mana pegawai berkuasa boleh menahan, membuka dan memeriksa mana-mana bungkusan atau artikel yang disyakinya mengandungi apa-apa hasil penerbitan larangan atau apa-apa hasil penerbitan yang boleh dikenakan larangan di bawah subseksyen 7(1).

Kuasa menyita dan menahan 
18. Mana-mana pegawai yang bertindak menurut seksyen 16 atau 17 adalah diberi kuasa untuk menyita dan menahan —
(a) mana-mana mesin cetak atau hasil penerbitan atau apaapa makalah lain yang dia ada sebab mempercayai sebagai bukti berlakunya apa-apa kesalahan di bawah Akta ini atau mana-mana kaedah yang dibuat di bawahnya;
(b) apa-apa hasil penerbitan yang dia syaki sebagai hasil penerbitan yang boleh dikenakan larangan di bawah subseksyen 7(1) atau boleh ditolak pengimportan, menahan daripada menyerah hantar atau mengembalikan kepada pengirim di bawah subseksyen 9(1).

Semua benda yang disita kena dilucut hak 
19. (1) Semua hasil penerbitan dan makalah lain, selain daripada mesin cetak yang dilucut hak di bawah seksyen 3, yang disita dan ditahan di bawah seksyen 17 atau 18, sama ada atau tidak mana-mana orang dipertuduhkan atau disabitkan, boleh dibuat sesuatu mengenainya mengikut apa-apa cara sebagaimana diarahkan oleh mahkamah.
(2) Jika tidak ada pendakwaan berhubungan dengan mana-mana mesin cetak, hasil penerbitan atau makalah lain yang disita di bawah Akta ini, maka mesin cetak, hasil penerbitan atau makalah lain itu hendaklah dikira dan disifat dilucuthakkan apabila tamatnya tempoh satu bulan kalendar dari tarikh penyampaian suatu notis bertulis tentang penyitaan itu melainkan jika suatu tuntutan mengenainya dibuat sebelum tarikh itu mengikut cara yang dinyatakan selepas ini.
(3) Mana-mana orang yang menuntut bahawa dia ialah pemunya mesin cetak, hasil penerbitan atau makalah lain itu dan bahawa ia tidak boleh dilucut hak bolehlah, dengan sendirinya atau melalui ejennya yang diberi kuasa secara bertulis, memberi notis bertulis kepada pegawai kanan berkuasa bahawa dia membuat tuntutan ke atas kesemuanya itu.
(4) Apabila diterima notis itu pegawai kanan berkuasa hendaklah merujuk tuntutan itu kepada Menteri yang boleh mengarahkan supaya mesin cetak, hasil penerbitan atau makalah lain itu dilepaskan kepada pihak menuntut atau selainnya dilupuskan atau boleh mengarahkan pegawai kanan berkuasa supaya merujuk perkara itu kepada mahkamah untuk keputusannya.

Tangkapan tanpa waran 
20. Mana-mana pegawai polis boleh menangkap tanpa waran manamana orang yang didapati melakukan atau dengan munasabahnya disyaki melakukan atau telah melakukan atau cuba melakukan atau mendapatkan atau bersubahat dengan mana-mana orang untuk melakukan apa-apa kesalahan di bawah Akta ini.

Perbadanan dan firma 
21. Bagi apa-apa jua maksud Akta ini, sesuatu perbadanan boleh bertindak melalui seorang pengarah atau setiausahanya, dan firma boleh bertindak melalui mana-mana pekongsinya

Liabiliti pengarah, dsb. 
22. (1) Bila-bila masa sesuatu kesalahan di bawah Akta ini dilakukan oleh suatu pertubuhan perbadanan mana-mana pengarah, pengurus, setiausaha atau pegawai lain pertubuhan perbadanan itu hendaklah juga disifatkan melakukan kesalahan itu melainkan jika dia membuktikan bahawa kesalahan itu telah dilakukan tanpa pengetahuan atau keizinannya dan tidak dikaitkan dengan apa-apa kecuaian di pihaknya. 
(2) Bila-bila masa mana-mana ejen atau pekhidmat semasa dia menjalankan kerjanya melakukan atau tidak melakukan apa-apa perbuatan yang melakukannya atau tidak melakukan perbuatan itu oleh prinsipal atau majikannya tetap menjadi suatu kesalahan, maka ejen atau pekhidmat adalah melakukan kesalahan itu. 
(3) Mana-mana orang yang tetap bersalah melakukan suatu kesalahan kiranya apa-apa jua telah dilakukan atau tidak dilakukan olehnya sendiri melakukan kesalahan itu dan boleh dikenakan penalti yang itu juga jika perkara itu telah dilakukan atau tidak dilakukan oleh pekongsi, ejen atau pekhidmatnya semasa dia sedang menjalankan perniagaan perkongsian atau semasa dia sedang menjalankan kerjanya, mengikut mana-mana yang berkenaan, melainkan jika dia membuktikan hingga memuaskan hati mahkamah bahawa kesalahan itu telah dilakukan tanpa pengetahuan atau keizinannya dan bahawa dia telah mengambil segala langkah pengawasan yang munasabah untuk mencegah berlakunya atau tidak melakukan perkara itu. 
(4) Peruntukan seksyen ini hendaklah dikira tambahan kepada dan bukannya mengurangkan daripada mana-mana peruntukan lain dalam Akta ini. 

Penyampaian notis, dsb. 
23. Mana-mana notis, dokumen atau surat-menyurat lain hendaklah disifat disampaikan dengan secukupnya kepada pemegang suatu lesen, permit atau perakuan jika notis, dokumen atau surat-menyurat itu— 
(a) disampaikan sendiri kepada orang yang menjaga premis di mana mesin cetak itu ditempatkan, di mana hasil penerbitan itu disiarkan, atau kepada ejen yang dilantik di bawah subseksyen 6(3); 
(b) dihantar melalui pos berdaftar kepada alamat pemegang seperti yang diberi dalam lesen atau permit atau alamat ejen yang dilantik di bawah subseksyen 6(3); atau 
(c) disiarkan dalam Warta. 

Halangan kepada prosiding undang-undang 
24. Tiada apa-apa jua prosiding undang-undang boleh diambil atau dimulakan atau disenggarakan dalam mana-mana mahkamah kerana atau disebabkan apa-apa kerugian, atau kerosakan kepada, apa-apa jua yang disita, ditahan, dirampas atau dimusnahkan di bawah Akta ini atau kerana atau disebabkan apa-apa kerosakan yang ditanggung akibat penyitaan, penahanan, perampasan, pemusnahan atau perkembalian apa-apa jua di bawah Akta ini atau apa-apa kelengahan untuk menyerah hantar atau mengembalikan apa-apa jua kepada orang yang kepadanya benda itu tetap telah diserah hantar atau dikembalikan kalau tidak kerana penahanannya di bawah Akta ini. 

Pengecualian 
25. (1) Tiada apa-apa jua dalam Akta ini boleh meliputi hasil penerbitan atau membuat apa-apa dokumen atau majalah berkala oleh atau untuk Kerajaan Persekutuan atau mana-mana Kerajaan Negeri atau mana-mana badan berkanun. 
(2) Menteri boleh melalui perintah yang disiarkan dalam Warta mengecualikan mana-mana orang, mesin cetak atau hasil penerbitan daripada pemakaian semua atau mana-mana peruntukan Akta ini. 

Kaedah-kaedah 
26. (1) Menteri boleh dari semasa ke semasa membuat kaedahkaedah untuk melaksanakan maksud Akta ini.
(2) Tanpa menyentuh keluasan kuasa yang diberi oleh subseksyen (1), kaedah-kaedah itu boleh membuat peruntukan mengenai — 
(a) jenis dan bentuk mana-mana dokumen yang perlu bagi maksud Akta ini; 
(b) butir-butir yang hendak diberikan semasa membuat permohonan untuk suatu lesen atau permit dan caranya menyenggarakan rekod; 
(c) tatacara memindahkan lesen dan permit; 
(d) tatacara memohon lesen atau permit, fi untuk lesen atau permit dan syarat yang dikenakan kepada lesen atau permit, pembayaran deposit apabila dikeluarkan lesen atau permit dan hal keadaannya deposit itu boleh dilucut hak; 
(e) amaunnya deposit yang dikehendaki dibuat di bawah perenggan 7(2)(d) atau seksyen 10 dan caranya membuat pelucuthakan atau pembayaran daripada deposit itu sebagai ganti rugi; dan 
(f) tatacara membuat dan mendengar rayuan. 

Pemansuhan 
27. Akta Mesin Cetak 1948 [Akta 58] dan Akta Kawalan Penerbitan Diimport 1958 [Akta 63] adalah dimansuhkan.

No comments:

Post a Comment